AIA Malaysia Rai Inisiatif Pelajar yang Penuh Inspirasi pada Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools

Kuala Lumpur, 22 Mei 2025 – AIA Malaysia hari ini meraikan pencapaian cemerlang 18 buah sekolah rendah dan menengah pada Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools (Sekolah Tersihat AIA) bagi mengiktiraf usaha mereka yang inovatif dan berimpak tinggi dalam membudayakan kesejahteraan pelajar serta memacu perubahan bermakna dalam komuniti sekolah.

Majlis anugerah tahun ini merupakan kemuncak bagi edisi kedua Pertandingan AIA Healthiest Schools (AHS) – acara utama di bawah program AHS. Pertandingan ini berlangsung dari Oktober 2024 hingga Mac 2025 dan telah menerima lebih 60 penyertaan daripada sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa dari seluruh Malaysia.

Sekolah-sekolah yang menang telah dipilih oleh panel juri AHS berdasarkan skop dan pelaksanaan projek, tahap keterlibatan bersama guru, pelajar dan komuniti, impak keseluruhan serta kelestarian jangka panjang. Semua sekolah menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$ 100,000 (sekitar RM450,000) di bawah kategori ‘Pemenang’ dan ‘Kepujian’ bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.

Bagi kategori sekolah rendah, SJK (C) Hwa Lien, sebuah sekolah di Pulau Ketam, Selangor, muncul juara dengan inisiatif My School, My Home 2.0. Projek ini bertujuan menangani cabaran kesihatan mental akibat tekanan digital, pengasingan sosial dan halangan bahasa dalam kalangan pelajar. Sekolah ini memperkenalkan lima (5) modul inklusif yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan emosi, perayaan budaya, aktiviti fizikal serta sokongan bahasa. Dengan sokongan ibu bapa, komuniti Orang Asli dan sekolah-sekolah yang berhampiran, inisiatif ini telah berjaya memupuk komuniti pelajar yang lebih terhubung dan berdaya tahan.

Pemenang Kategori Sekolah Rendah

Tempat Pertama (AS$ 10,000 / RM 45,000) : SJK (C) Hwa Lien (Selangor)
Tempat Kedua (AS$ 7,500 / RM 33,700) : SK Jalan Empat (Selangor)
Tempat Ketiga (AS$ 7,500 / RM 33,700)   : SK Oran (Perlis)
Tempat Keempat (AS$ 7,500 / RM 33,700)   : SK Kuala Perlis (Perlis)

Kepujian (AS$ 3,500 / RM 15,700 setiap penerima)

  1. SJK (C) Pui Ying (Selangor)
  2. SK Padang Temu (Melaka)
  3. SJK (C) Lawan Kuda Baru (Perak)
  4. SJK (C) Han Chiang (Penang)
  5. SK Changkat Jawi (Perlis)

Sementara itu, SMK Saujana Utama di Selangor meraih tempat pertama bagi kategori sekolah menengah melalui Canscape – sebuah program terapi seni kreatif yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kesihatan mental ‘Terapi Seni Ekspresi’ sekolah tesebut. Pelajar menggunakan tin terpakai sebagai kanvas untuk meluahkan emosi mereka dan menjadikan platform seni yang ringkas dan rendah kos ini sebagai alatan berkesan untuk mengawal emosi. Inisiatif ini telah membantu mengurangkan tekanan dan kelakuan negatif seperti vandalisme, selain memupuk kesedaran emosi dan empati dalam kalangan pelajar.

Pemenang Kategori Sekolah Menengah

Tempat Pertama (AS$ 10,000 / RM 45,000) : SMK Saujana Utama (Selangor)
Tempat Kedua (AS$ 7,500 / RM 33,700)  : SMK Kuala Jenderis (Terengganu)
Tempat Ketiga (AS$ 7,500 / RM 33,700)   : SMK Kampung Baru Kerteh (Terengganu)
Tempat Keempat (AS$ 7,500 / RM 33,700)   : SMK Bukit Baru (Melaka)

Kepujian (AS$ 3,500 / RM 15,700 setiap penerima)

  1. SMK (P) Treacher Methodist (Perak)
  2. SMK Telok Gadong (Selangor)
  3. Sayfol International School (Kuala Lumpur)
  4. SMK Paya Rumput (Melaka)
  5. SMK Kijal (Terengganu)

Berucap di majlis anugerah, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chee Foong Wai berkata: “Program AIA Healthiest Schools adalah sebahagian daripada lanjutan matlamat kami untuk memupuk budaya kesihatan dan kesejahteraan sejak usia muda dan kami percaya perubahan yang sebenar boleh bermula dari dalam bilik darjah. Dalam tempoh hanya dua tahun, visi ini telah mencapai kemajuan yang progresif. Program ini telah mencetus kreativiti, menyemarakkan semangat dan memperkasakan generasi masa hadapan untuk menjaga kesejahteraan fizikal, mental dan alam sekitar mereka.

“Kami terharu dengan sambutan memberangsangkan terhadap pertandingan tahun ini, dengan jumlah penyertaan yang meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu. Ini adalah petanda positif bahawa momentum program semakin berkembang yang mana lebih banyak sekolah mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan ceria untuk para pelajar.”

Juara peringkat sekolah rendah dan menengah iaitu SJK (C) Hwa Lien dan SMK Saujana Utama akan mewakili Malaysia di Anugerah Serantau AIA Healthiest Schools yang bakal berlangsung pada Julai ini di Danang, Vietnam. Kedua-dua sekolah akan bersaing dengan pemenang dari tujuh (7) pasaran AIA yang lain, iaitu Indonesia, Thailand, Hong Kong, Australia, Vietnam, Sri Lanka dan Filipina.

“Kami berbangga meraikan usaha luar biasa anak-anak dan warga pendidik yang giat memacu perubahan sebenar serta mencetuskan impak di sekolah masing-masing. Dan kami amat menghargai sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, rakan pendidikan kami LeapEd, panel juri, serta semua guru dan pelajar yang berdedikasi dalam menghidupkan idea-idea kreatif dan inovatif ini. Sokongan mereka amat penting dalam mengembangkan program ini dan kami berharap dapat meneruskan perjalanan ini bersama-sama untuk mewujudkan sekolah-sekolah yang lebih sihat di Malaysia,” tambah Foong Wai.

Program AIA Healthiest Schools yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, telah dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2023. Ia direka bagi memperkasakan sekolah untuk mempromosikan pemakanan sihat, gaya hidup aktif, kesejahteraan mental dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar berumur lima (5) hingga 16 tahun. Program ini turut menyediakan bahan pengajaran percuma dalam pelbagai bahasa (Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin), serta bengkel praktikal yang melengkapkan guru-guru untuk memperkenalkan konsep kesihatan dan kesejahteraan secara berkesan di dalam bilik darjah.

Sekolah yang berminat untuk mendaftar program AIA Healthiest Schools boleh mendapatkan maklumat lanjut di https://ahs.aia.com/my/ms yang turut menyediakan akses kepada sumber pengajaran. Pihak sekolah dipelawa untuk menghantar penyertaan bagi edisi ketiga Pertandingan AIA Healthiest Schools mulai Oktober 2025.