Demam Bola Sepak Kembali – 1,300 Sertai ‘AIA Score with Spurs Camp’

Shah Alam, 3 Jun 2025 – Score with Spurs Camp, sebuah program latihan bola sepak yang dinanti-nantikan anjuran AIA Malaysia dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Tottenham Hotspur telah meraih penyertaan daripada lebih 1,300 peserta dewasa dan kanak-kanak untuk pengalaman bola sepak yang berlangsung selama tiga hari di Arena Bola Sepak Eco Ardence, Setia Alam.

Kem yang berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun 2025, dikendalikan oleh jurulatih Pembangunan Antarabangsa Tottenham Hotspur, Lily Jervis dan Sabrina Dias, bersama 24 jurulatih tempatan yang berpengalaman.

Ia dibahagikan kepada dua sesi setiap hari: sesi pagi dikhaskan untuk Junior Camp yang disertai lebih 700 pemain bola sepak cilik berumur 7 hingga 13 tahun, manakala sesi petang pula adalah bagi Adult Camp yang mencatatkan kehadiran hampir 650 peserta. Format ini memastikan setiap kumpulan mendapat latihan dan bimbingan yang disesuaikan mengikut peringkat umur bagi memaksimumkan pengalaman mereka.

Setiap hari dimulakan dengan aktiviti warm-up yang penuh bertenaga, yang juga terbuka kepada keluarga dan rakan-rakan peserta bagi mewujudkan suasana yang lebih meriah serta membolehkan mereka untuk turut merasai kehangatan program ini. Selain memantapkan kemahiran asas bermain bola sepak seperti menggelecek, melakukan hantaran dan menjaringkan goal, sesi latihan turut menampilkan latihan taktikal serta perlawanan persahabatan.

Semua sesi direka dengan teliti untuk membantu para peserta membina keyakinan diri, menggalakkan kemajuan dan memupuk nilai-nilai penting seperti kerjasama berpasukan, disiplin, dan semangat kesukanan disamping memastikan pengalaman tersebut tetap menyeronokkan dan sesuai untuk semua peringkat umur serta tahap kemahiran.

Dilancarkan pada 2021 sebagai program latihan bola sepak secara maya Ketika pandemik dengan hanya 160 peserta, program Score with Spurs telah berkembang menjadi platform yang bermakna bagi rakyat Malaysia untuk kekal sihat dan aktif melalui cara yang menyeronokkan. Pada 2022, program ini telah beralih ke acara fizikal dengan pengenalan Adult dan Junior Camp, yang sejak itu telah berkembang kepada lima hingga enam sesi setiap tahun.

Dengan menjadikan latihan bola sepak bertaraf dunia lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, Score with Spurs terus menginspirasikan gaya hidup sihat, mencungkil bakat bola sepak dari peringkat akar umbi, serta memperkasakan komuniti untuk menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.